Ahmad Jaaffar

By LKCRL Reference Librarian written on 2007-11-27
National Library Board Singapore

Ahmad Jaaffar atau A. Jaaffar Munasip, mempunyai nama pena seperti Arjuna; Adjana Syafiq; dan Anakjalanan (nama pena bagi alam siber). Beliau dilahirkan di Lorong Liput, Singapura pada 10 Februari, 1967. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Delta East dan Sekolah Rendah Mei Chin, sebelum ke Sekolah Menengah Queensway. Beliau kemudiannya melanjutkan pendidikan dalam bidang elektrikal di Institut Teknikal Singapura. Sekarang beliau bekerja sebagai Pegawai Teknikal di sebuah syarikat pengangkutan awam. Beliau berminat dalam bidang penulisan semenjak di bangku sekolah. Hasrat beliau dalam menceburi bidang penulisan tercapai apabila cerita pendeknya (satu dalam bahasa Melayu dan satu lagi dalam bahasa Inggeris) tersiar dalam majalah sekolah. Karya pertama beliau iaitu sajak Kisah Ombak diterbitkan pada 15 September 1985 di Berita Minggu. Cerpen pertama beliau Pulang diterbitkan di Mingguan Aneka pada 27 September 1987.

Ahmad Jaaffar amat cenderung dengan karya-karya non-konvensional seperti dalam cerpen-cerpen Kisah Sang Unta (berbentuk satira) dan Perjalanan Ardjuna (berbentuk kembara rohani yang abstrak). Beliau juga pernah menulis esei dan skrip drama untuk kanak-kanak. Karyanya pernah tersiar di akhbar Mingguan Aneka, Berita Minggu dan Dewan Sastera.

Ahmad Jaaffar merupakan anggota KAMUS sejak awal tahun 90-an. Kini beliau adalah Setiausaha I KAMUS. Beliau terlibat dalam pergerakan persuratan Singapura seperti menganjurkan Pertemuan Penulis-Penulis Singapura, forum-forum diskusi sastera yang melibatkan penulis-penulis dari dalam dan luar negara, pelancaran buku-buku sastera, di samping menyertai acara-acara Bulan Bahasa dan Anugerah Persuratan.

Karya
Salam dari Amira. (1993). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Antologi puisi: Kita musafir dalam daerah ini. (2000). Singapura: KAMUS.
Hadijah Rahmat, Dewani Abbas, Azhar Ibrahim Alwee. (Eds.). Anak bumi: Antologi cerpen. (2003). Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Dari kepingan-kepingan mimpi. (2005). Singapura: Tareem Publications.

Pencapaian/Anugerah
1993 : Hadiah Penghargaan Peraduan Penulisan Saadon Ismail: Cerpen Opera topeng.
1993 : Hadiah Penghargaan Sayembara Sastera sempena Anugerah Persuratan MBMS: Cerpen Menam Kwa Noi.
1994 : Anugerah Saadon Ismail: Cerpen Dari kepingan-kepingan mimpi yang berderai, kukutip dan kuacarakan buat inspirasi penerus hidup.
1995 : Hadiah Sastera (Penghargaan) MBMS: Cerpen Igau 12:03 pagi.



Sumber

Mohamed Pitchay Gani bin Mohamed Abdul Aziz. (Ed.). (2005). Leksikon: Direktori penulis Melayu Singapura pasca 1965 (ms. 69-70). Singapura: Angkatan Sasterawan '50 & National Library Board.



The information in this article is valid as at 2005 and correct as far as we can ascertain from our sources. It is not intended to be an exhaustive or complete history of the subject. Please contact the library for further reading materials on the topic.



Subject
Personalities>>Biographies>>Authors
Arts>>Literature>>Malay Literature
Ahmad Jaaffar, 1967-
Authors, Malay--Singapore—Biography
Language and literature>>Literatures>>East and Southeast Asian literature>>Singapore literature



All Rights Reserved. National Library Board Singapore 2007.